Hubungan baik antara ibu bapa dan guru serta
komitmen tinggi untuk melihat pelajar cemerlang dalam pendidikan dan
kegiatan kokurikulum, telah menempatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Tuanku Ja'afar dekat sini
sebagai unik dan terpuji.
Apa tidaknya, segala aktiviti yang dirancang dan dilakukan, telah
mendapat kerjasama erat antara kedua-dua pihak sehingga menjadikan
sekolah itu sentiasa dicontohi, bukan sahaja dalam aspek kecemerlangan
pendidikan, tetapi kokurikulum serta pelaksanaan kepelbagaian kempen
kesedaran.
Maka atas dasar itulah PIBG sekolah berkenaan dinobatkan sebagai
pemenang Anugerah PIBG Cemerlang Terbaik Sekolah Menengah peringkat
kebangsaan semasa Konvensyen dan Anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Guru
(PIBG) yang berlangsung di ibu negara Sabtu lalu.
Dengan kejayaan itu, PIBG sekolah menerima wang tunai RM30,000, piala
dan sijil penghargaan yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga selaku Menteri Pendidikan.
Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Datuk Mohd. Noordin Mohamad
berkata, anugerah yang diperoleh itu bukan sahaja kebanggaan kepada
pihak sekolah, malah turut dikongsi oleh para ibu bapa dalam memberikan
sokongan padu dan jitu bagi memastikan kecemerlangan bidang pendidikan.
``Gandingan kerjasama ini sentiasa membolehkan apa juga perancangan
yang dilakukan dengan jayanya. Ia bukan sahaja telah mencapai matlamat
bahkan turut memberikan manfaat kepada para pelajar di sekolah ini.
``Pengiktirafan ini sebenarnya membuktikan bahawa peranan semua pihak
penting kerana apa yang menjadi keutamaan adalah menjadikan sekolah ini
sebagai sebagai pusat kecemerlangan pelajar pada masa depan,'' katanya
ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kata Mohd. Noordin, kejayaan itu turut disumbangkan hasil daripada
kerjasama beberapa syarikat swasta yang selama ini banyak membantu dalam
membolehkan sebarang bentuk aktiviti sekolah dapat dilaksanakan untuk
manfaat pelajar.
``Sebagai PIBG, kita turut melibatkan komuniti setempat, yang
sama-sama membantu pihak sekolah dalam menyalurkan apa juga maklumat
berkaitan pelajar dan keperluan pendidikan.
``Umpamanya dalam kempen yang dilakukan bersama PIBG dan pihak
sekolah seperti kempen atasi gejala ponteng dan hisap rokok, yang mana
komuniti serta ibu bapa seringkali menyalurkan maklumat dalam memastikan
aspek disiplin pelajar dijaga. Ini amat membantu dan memberikan
kejayaan besar kepada PIBG dan sekolah dalam membentuk sahsiah diri
pelajar,'' tegasnya.
Jelasnya lagi, penglibatan syarikat korporat dengan pihak sekolah
pula turut meningkatkan prasarana di sekolah seperti apa yang dilakukan
oleh pihak KPJ Healthcare Bhd. dengan menjadikan satu bilik di sekolah
ini sebagai bilik rawatan kecemasan pelajar.
Pihak industri seperti Samsung pula menyumbang lebih 10 peralatan komputer bagi kegunaan pelajar dan pihak sekolah.
Apa yang menarik, PIBG itu juga membangunkan blog mereka sendiri
untuk menyalurkan segala aktiviti dan perancangan yang boleh dicapai
oleh semua ibu dan bapa serta orang ramai pada bila-bila masa.
Jelas dalam piagam pelanggan PIBG SMK Taman Tuanku Jaafar itu tertera
kesungguhan apabila mereka sentiasa bersedia membantu pihak sekolah
melaksanakan proses pendidikan; menjadi pemangkin pengembangan bakat dan
potensi pelajar dalam akademik dan kokurikulum serta mengurus dan
menggunakan peruntukan kewangan yang diterima untuk faedah sekolah.
Sementara itu, Pengetua sekolah berkenaan, Omar Ahmad menjelaskan,
anugerah berkenaan bukan titik noktah bagi pelengkap usaha baik itu,
bahkan ia adalah motivasi kepada semua pihak untuk bekerja lebih keras
memastikan kecemerlangan pelajar terus diutamakan.
Malah kata beliau, menerusi inisiatif Kementerian Pendidikan
mewujudkan program Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah telah berjaya
menunjukkan perkembangan positif dalam perkongsian ilmu antara kedua-dua
pihak berkepentingan itu.
``Usaha ini selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan yang mahukan
lebih penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak serta
menggalakkan penyertaan komuniti dengan sekolah.
``Malah kita amat berbangga dengan penerimaan anugerah ini sekaligus
memperlihatkan sekolah ini menjadi contoh kepada pelaksanaan Sarana Ibu
Bapa kerana PIBG sekolah aktif menggerakkan program bersama sama ada
pihak sekolah, ibu bapa, komuniti termasuk pihak swasta,'' katanya
Antara program yang dilaksanakan sekolah berkenaan kata beliau
termasuklah Unit Peronda Ponteng Sekolah, penganjuran pertandingan golf
amal sekolah, kenduri PIBG dan pelajar, Sarana bersama pelajar MSU dan
Cosmopoint, hari graduasi termasuk penglibatan komuniti dengan media
elektronik.
Tidak ketinggalan penganjuran Program Larian Amal sekolah berkenaan
yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi pada Februari lalu yang
mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 1,200 orang.
No comments :
Post a Comment